Al-Hadaad
(Berkabung) ataupun Ihdad menurut Imam An-Nawawi Rahimahullah ialah
meninggalkan berhias-hias samada dengan pakaian, barang kemas dan bau-bauan
yang harum. (Raudhah Al-Thalibin, 8 / 405) Ini bermaksud perempuan yang
berihdad ialah perempuan yang meninggalkan perkara yang berkaitan dangan
berhias dan apa-apa yang boleh merangsang umpamanya memakai minyak wangi serta
bersolek.
Tuntutan
berkabung ini pada lazimnya hanyalah ditujukan kepada perempuan yang kematian
suami selama iddahnya. Sementara lelaki tidak berkaitan dengan tuntutan
berkabung ini. Jangan berghuluw (berlebih-lebihan) dalam urusan agama.
PENCERAHAN :
Berkabung,
dalam bahasa Arabnya adalah al-Hadaad ( الْحَدَادُ
). Maknanya, tidak mengenakan perhiasan baik berupa pakaian yang menarik,
minyak wangi atau lainnya yang dapat menarik orang lain untuk menikahinya.
Pendapat lain menyatakan, al-Hadaad adalah sikap wanita yang tidak mengenakan
segala sesuatu yang dapat menarik orang lain untuk menikahinya seperti minyak
wangi, celak mata dan pakaian yang menarik dan tidak keluar rumah tanpa
keperluan mendesak, setelah kematian suaminya.
Al-Hadaad,
terbahagi kepada dua. Pertama, berkabung dari kematian suami selama 4 bulan 10
hari. Kedua, berkabung dari kematian salah satu anggota keluarganya, selain
suami iaitu selama 3 hari sahaja. Pembahagian ini berdasarkan sabda Rasulullah
SAW :
لَا يَحِلُّ لِامْرَأَةٍ
تُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ أَنْ تُحِدَّ عَلَى
مَيِّتٍ فَوْقَ ثَلَاثٍ إِلَّا
عَلَى زَوْجِهَا رواه مسلم
"Tidak
halal seorang wanita yang beriman kepada Allah dan hari akhirat untuk berkabung
atas kematian melebihi tiga hari, kecuali atas kematian suaminya" (HR :
Muslim)
فَإِنَّهَا تُحِدُّ عَلَيْهِ أَرْبَعَةَ
أَشْهُرٍ وَعَشْرًا
"Maka
ia berkabung atas hal tersebut selama empat bulan sepuluh hari" (HR :
Bukhari)
Amalan
perkabungan hanya khas bagi wanita sahaja.
Manakala
kaum lelaki, tidak disyariatkan berkabung atas kematian. Perkara ini disepakati
oleh ulama. Kita boleh lihat dalam kitab-kitab feqah lama dan moden yang
membahaskan hukum berkabung, ulama hanya membahaskan tentang perkabungan
wanita.
Cuma, ada
segelintir ulama yang mengisyaratkan kepada keharusan berkabung bagi lelaki,
dalam tempoh tiga hari sahaja. (Kitab al-Inshaf 6/279 dan Matolib Uli al-Nuha
1/924) Itupun, hanya bagi individu yang ditimpa musibah kematian dari kalangan
saudara maranya sahaja. Bukan orang biasa yang tiada pertalian darah atau
nasab.
Manakala,
adat berkabung atas kematian pemimpin, dengan cara seperti merendahkan bendera,
memakai pakaian serba hitam, songkok berlilit dan seumpamanya, ia satu perkara
yang tidak ada asas dalam syarak dan tidak didapati sumbernya dalam agama, dan
perbuatan salafus soleh. Malahan, ketika wafat pemimpin paling agung,
Rasulullah SAW, sahabat tidak melakukan perkabungan seumpama ini.
Adapun
memakai pakaian tertentu seperti pakaian hitam dan sejenisnya, maka ini tidak
ada asalnya dan merupakan perkara yang batil dan tercela. (Fatwa Nur'alad Darb
- Asy-Syeikh Ibnu Utsaimin hal. 76). Ini menunjukkan ia tidak syar'ie. Malah
lebih dibimbangi amalan umpama ini diceduk daripada adat masyarakat bukan Islam
khususnya Agama Kristian. Sedangkan kita dilarang tasyabbuh (meniru) adat
mereka.
Tasyabbuh
(menyerupai) orang-orang kafir adalah haram meskipun tidak mempunyai maksud
seperti mereka, dengan dalil hadis dari Ibnu Umar radhiyallahu ‘anhuma dari
Rasulullah SAW ;
من تشبه بقوم
فهو منهم
“Barangsiapa yang menyerupai dengan satu kaum, maka dia
termasuk golongan mereka.” (HR. Abu Dawud)
Hadis ini
menetapkan berbagai hal tentang dilarangnya menyerupai orang-orang kafir. ‘Amr
bin Syu’aib telah meriwayatkan dari bapaknya dan dari datuknya bahawa
Rasulullah SAW pernah bersabda:
ليس منا من
تشبه بغيرنا، لا تشبهوا
باليهود ولا النصارى
“Bukan termasuk golongan kami orang yang menyerupai kaum
selain kami. Jangan kalian menyerupai Yahudi dan Nashrani.”
Maka amalan
berkabung sempena kematian pembesar atau kerabat istana bukanlah dari ajaran
Islam. Bahkan menyanggahi apa yang ditegaskan oleh Rasulullah SAW. Mereka yang
meninggal pada hari ini tidak lebih mulia dari insan-insan soleh bermula
Rasulullah SAW dan selepas baginda. Jika kematian mereka pun umat tidak
berkabung kerana mematuhi arahan Rasulullah SAW, apakah kita merasai pembesar
dan kerabat yang meninggal pada zaman ini lebih mulia dari mereka? Sama sekali
tidak. Kepada Allah kembali segala urusan!
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.