MH370: Perlu tegas tangani laporan palsu


KUALA LUMPUR- Ahli Parlimen Lenggong (BN) Shamsul Anuar Nasarah hari ini menggesa kerajaan melalui  Wisma Putra agar bertindak tegas terhadap laporan tidak benar media asing mengenai pesawat MH370.

Shamsul berkata, Wisma Putra mesti bertindak dengan memanggil wakil mereka di negara ini bagi memberikan penjelasan mengenai laporan yang tidak benar tersebut.

"Saya lihat ini suatu langkah yang perlu dan ada sebahagian laporan itu sengaja dilakukan untuk melaksanakan agenda mereka atau pun sengaja dilakukan untuk tujuan kontroversi bagi melariskan akhbar mereka.

"Sebab itu sama ada Wisma Putra atau kementerian Komunikasi Dan Multimedia perlu bertindak segera.

"Selain daripada itu juga kedutaan kita diluar negara juga mesti bertindak dengan menghantar bantahan atau pun memanggil untuk diberikan penjelasan mengenai perkara sebenar kepada mereka (media antarabangsa)," katanya kepada Sinar Harian Online hari ini.

Ujarnya lagi sejak peristiwa MH370,sebahagian daripada media barat menggunakan kesempatan memburuk -burukkan Malaysia dengan melabelkan Malaysia gagal menanggani krisis MH370 dengan baik dan sempurna .

"Saya berkeyakinan sebenarnya ada agenda tersembunyi yang sedang dilaksanakan oleh sebahagian daripada media barat yang dilihat ia adalah usaha merosakkan nama baik Malaysia dimata dunia.

"Semua ini banyak memberikan kesan yang tidak baik kepada negara ini, dan tentunya usaha ini dilihat sebagai tindakan mahu mencalarkan imej negara dan pastinya akan menganggu perkembangan aspek pelancongan,dan  pelaburan asing dalam negara ini.

"Lebih membahayakan apabila ada pihak yang cuba labelkan Malaysia sebagai pusat latihan dan sarang penganas.

" Oleh itu, bagi saya, Keadaan ini tidak boleh dibiarkan berterusan, maka satu tindakan yang segera dan berkesan perlu dilakukan oleh pihak kerajaan dalam memperbetulkan kembali imej buruk yang dilakukan oleh media antarabangsa ini," katanya.

Shamsul berkata demikian sebagai menggulas tindakan media antarabangsa terutamanya berita daripada agensi CNN dan Fox yang cuba memberi imej negatif terhadap laporannya ke atas pesawat MH370.

Dalam perkembangan yang sama, shamsul turut menyeru media Malaysia untuk membantu kerajaan dengan membuat penafian dan penjelasan bagi memperbetulkannya kepada pembaca.

"Ini penting supaya masyarakat akan tahu mana berita yang sebenarnya.


"maknanya ia boleh menjadi pilihan kepada masyarakat untuk membaca dan membuat pilihan mengenai berita dan perkara sebenar mengenai sesuatu berita," ulasnya lagi.

Sumber: SinarHarian

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.